Setelah 2 hari Tun Mahathir keluar UMNO, inilah respon paling pedas Datuk Seri Najib yang betul-betul makan dalam dan menyakitkan

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno bukan mengejutkan dan ia tidak seharusnya mengalihkan tumpuan kepada agenda kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang diperjuangkan parti itu.

"Bagi Umno, kita akan teruskan agenda kita sebab banyak tugas yang perlu kita sempurnakan.

"Saya harap kita akan memberi fokus kepada perkara yang kita nak perjuangkan supaya Umno lebih kukuh dalam berdepan pelbagai cabaran terutama sekali persediaan menghadapi pilihan raya akan datang," kata Perdana Menteri.

Najib yang juga Presiden Umno menjawab soalan pemberita mengenai perkara berkenaan di Jeddah pada Selasa malam. Beliau kini melakukan lawatan kerja ke Arab Saudi.

Dr Mahathir pada 29 Februari lepas mengumumkan beliau sekali lagi keluar daripada Umno kerana dilaporkan tidak puas hati dengan parti.


Bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno itu sebelum ini keluar daripada parti berkenaan pada 19 Mei 2008 selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Dr Mahathir menyertai semula Umno pada 4 April 2009 apabila Najib mengambil alih kepimpinan negara dan parti.

Ditanya sama ada tindakan Dr Mahathir itu memberi kesan kepada Umno, Najib berkata: "Mungkin tidak, kerana biasanya kalau kita nak keluar daripada parti, kesannya (bila ia dilakukan) kali pertama.

"Tapi bila dah buat dua kali, banyak orang anggap ini sebagai tidak sangat memberi impak yang boleh menggugat kedudukan Umno."

Beliau turut ditanya sama ada Umno bimbang akan ada pemimpin lain yang mengikut langkah Dr Mahathir.

"Itu terserah kepada mereka tapi keutuhan Umno ini akan kita pastikan.

Maknanya pemimpin yang komited kepada Umno dan (terus) bersama saya akan teruskan usaha untuk memperkukuhkan Umno," tegasnya.

Kepada pertanyaan sama ada usaha memujuk Dr Mahathir akan dibuat, Najib berkata ia bukan perkara mudah.

"Tapi kita bukanlah parti yang menolak dia, dan saya bukanlah pemimpin yang memikirkan tentang kedudukan saya sahaja seperti yang didakwa kerana yang perlu kita fahami ialah saya dipilih oleh proses demokrasi yang paling terbuka dalam sejarah Umno.

"Iaitu 160,000 perwakilan Umno memilih saya, bukan menggunakan perlembagaan lama, perlembagaan lama dulu banyak kekangannya misalnya kalau nak bertanding jawatan presiden, 56 bahagian kena calonkan seseorang itu.

"Tapi pada pemilihan Umno (yang lepas) ia paling terbuka sekali dalam sejarah, maknanya apa yang saya dapat hari ini ialah mandat daripada perwakilan Umno yang begitu terbuka berasaskan kepada prinsip demokrasi."

Najib berkata, beliau beriltizam untuk meneruskan mandat yang diterimanya daripada anggota Umno.

Kepada pertanyaan seterusnya berhubung kenyataan-kenyataan Dr Mahathir yang dilihat banyak menjejaskan imej negara, beliau berkata bekas perdana menteri itu bukanlah seorang yang mudah menghentikan sesuatu yang dilakukannya.

Menurut Najib, apa yang penting sekali ialah Umno dan kerajaan mesti dipertahankan.

"Yang kedua ialah kita mesti tunjuk apa saja yang dilakukan oleh sesiapa termasuk Tun tidak akan mengalih pandangan kita daripada agenda utama iaitu untuk terus membangunkan negara termasuk ekonomi negara kita," katanya.

Najib seterusnya berkata, dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar ini, kerajaan akan terus menentukan kesejahteraan rakyat tidak terabai.

Sumber: Sinarharian

0 Response to "Setelah 2 hari Tun Mahathir keluar UMNO, inilah respon paling pedas Datuk Seri Najib yang betul-betul makan dalam dan menyakitkan"

Catat Ulasan

dzulCYBER