Selepas setahun, penyokong tipu, 'spin' tuntut pembebasan Anwar - Saiful Bukhari

Selepas setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman penjara, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang selama ini 'menyepi' muncul menyatakan pandangannya susulan tindakan keterlaluan penyokong bekas ketua pembangkang itu walaupun mahkamah telah membuat keputusan berhubung kes liwatnya.

Bekas pembantu peribadi Anwar itu berkata, sepanjang tempoh itu banyak penipuan dan 'spin' dibuat di dalam dan luar negara semata-mata mahu menuntut pembebasan Anwar dan memberi tekanan kepada kerajaan.

Bagaimanapun katanya, dia telah mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang reaksi sehinggalah genap setahun bekas majikannya itu dipenjarakan.

"Saya mahu terus ke hadapan, tutup buku. 

"Namun, hari demi hari, saya lihat mereka ini semakin keterlaluan. Mereka bebas mengelirukan dan melakukan penipuan terhadap fakta kes saya," katanya dalam entri terbaharu di blognya bertajuk 'Setahun Berlalu', pada Rabu.

Mohd Saiful mendakwa, selain penipuan dan 'spin', dia juga maklum akan gerakan serta kempen oleh keluarga, penyokong dan pihak-pihak tertentu untuk membebaskan Anwar dari penjara.

"Antara penipuan dan 'spin' yang mereka lakukan adalah seperti tuduhan palsu, tahanan politik', perbicaraan berat sebelah, tidak dapat membela diri dan sebagainya.

"Pada pihak-pihak diluar yang mempercayai, terutama negara dan badan antarabangsa, ingin saya maklumkan di sini bahawa beliau bukan tahanan politik, sebaliknya adalah tahanan jenayah. Tidak ada kena mengena dengan penindasan demokrasi," katanya.

Tambahnya, amat malang apabila mereka mempercayainya dan mengambil beberapa tindakan seperti memberi 'derma jutaan dolar' untuk kempen pembebasan Anwar.

"Saya nasihatkan kepada pihak-pihak berkenaan, hentikanlah penipuan ini. Cukup-cukuplah berdusta. Dari 1998 hingga kini, tak habis-habis lagi. Jika tidak takut pada manusia, takutlah pada Allah. Kasihanilah pada mereka yang kamu tipu itu," katanya.

Dalam pada itu Mohd Saiful turut mempertikaikan nasibnya sebagai pengadu dan mangsa dalam kes liwat ini apabila ramai yang memberi tekanan dari sudut 'hak kemanusiaan' bagi menuntut pembebasan Anwar.

"Adakah saya ini bukan human/manusia sehingga dinafikan hak sebagai mangsa secara total oleh Badan-Badan 'Human Rights'?

"Pada hemat saya, agaknya realiti dunia sekarang sudah terbalik. Manusia akan membela individu yang berkepentingan kepada mereka, berkuasa, berpengaruh, berduit kaya raya.

"Dan bukannya orang kecil seperti saya ini, tak kaya, tak ada kuasa, tidak ada kepentingan. Adakah ini yang ingin dibudayakan?," soalnya.


Mohd Saiful berkata, bagaimanapun dia sentiasa mendoakan kesihatan dan ketenangan Anwar.

"Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, setahun sudah berlalu. Semoga sihat dan tenang disana. Gunakanlah tempoh ini untuk bermuhasabah sebaik-baiknya.

"Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun bagi hambanya yang benar-benar insaf. Sebagai bekas majikan, saya doakan yang terbaik," katanya.

Pada 10 Februari 2015, Anwar didapati bersalah meliwat Mohd Saiful dan Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Anwar meliwat Mohd Saiful, 30, di Unit 11-5-1 di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sumber: ddd


0 Response to "Selepas setahun, penyokong tipu, 'spin' tuntut pembebasan Anwar - Saiful Bukhari"

Catat Ulasan

dzulCYBER