Respon Tan Sri Muhyiddin Yassin isu cubaan singkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir

Timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan cubaan menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah sebagai 'jelik dan memalukan'.

Katanya, Umno kini akan kehilangan hormat daripada rakyat sekiranya pucuk pimpinan parti itu melayani desakan supaya Mukhriz digugurkan daripada jawatannya.

"Kebimbangan saya yang paling besar ialah perpecahan di dalam Umno akan bertambah ketara dan parti jadi semakin lemah,” katanya dalam satu kenyataan media di Facebook.


Sambil menyifatkan Mukhriz sebagai pemimpin Umno yang berkaliber dan berjiwa rakyat, katanya antara faktor kemenangan BN di negeri Kedah pada pilihan raya umum ke-13 lalu adalah kerana ketokohan anak Tun Dr Mahathathir Mohamad itu.

“Mukhriz adalah seorang pemimpin Umno yang berkaliber dan disenangi oleh ahli-ahli parti dan rakyat.

“Malah, antara faktor kemenangan BN di negeri Kedah adalah ketokohan Mukhriz sebagai pemimpin pelapis Umno sehinggakan perdana menteri sendiri sewaktu kempen PRU 13 menjanjikan Mukhriz sebagai menteri besar sekiranya BN berjaya memenangi negeri itu,” katanya.

Muhyiddin juga melahirkan rasa kesalnya kerana dalam keadaan rakyat dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi getir serta keyakinan yang semakin terhakis terhadap kepimpinan kerajaan BN, ada pemimpin Umno tergamak untuk memberontak.

"Saya percaya, Mukhriz sepatutnya diberikan peluang untuk terus memimpin kerajaan negeri Kedah," tegasnya.


Petang semalam sebahagian besar ADUN dan ahli parlimen Umno Kedah menyuarakan hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

Desakan itu diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selepas bermesyuarat dengan pemimpin tertinggi parti negeri itu yang diadakan tanpa kehadiran Mukhriz.

Antara yang hadir adalah ialah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Mereka juga hadir ketika Ahmad Bashah membuat pengumuman hilang kepercayaan terhadap Mukhriz pada sidang akhbar semalam.

Susulan itu, kira-kira 1,000 penyokong Mukhriz berkumpul di Bangunan Tunku Alor Setar bagi memberikan sokongan terhadap menteri besar Kedah itu pada sebelah malam.

Mereka berkumpul di depan bangunan menempatkan Ibu Pejabat Umno Kedah itu sambil melaungkan "Hidup Mukhriz!" berulang-kali.

Sumber: malaysiakini

0 Response to "Respon Tan Sri Muhyiddin Yassin isu cubaan singkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir"

Catat Ulasan

dzulCYBER