Foto cincin mahal hadiah perkahwinan Akim buat Stacy

Cincin campuran emas putih dan kuning bertakhtakan lima permata di sekelilingnya menjadi pilihan penyanyi, Akim Ahmad, 25, buat tunangnya, Stacy. 

Vokalis kumpulan The Majistret itu menjelaskan, beliau memilih cincin lima permata itu bagi melambangkan kepentingan solat lima waktu yang menjadi tiang agama. 

"Cincin pilihan saya ini adalah kejutan buat Stacy kerana coraknya yang berbeza dari kebiasaan. Ringkas saja bentuknya namun memberi erti yang mendalam. 

"Corak itu dipilih bagi mengingatkan Stacy kepentingan solat dalam mengukuhkan ikatan perkahwinan kami nanti. Rapuhnya tiang agama itu nanti mampu menggoyahkan rumahtangga. 

"Saya berharap Stacy suka dengan cincin yang dipilih dan memahami maksud tersirat di sebalik pemilihan tanda cinta kami itu," katanya kepada BH Online. 


Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad turut meluahkan rasa teruja menerima tajaan cincin oleh pihak Rings and Bands itu pada saat akhir.

Sementara itu, Akim berkongsi Stacy kini sedang sibuk menjalani persiapan majlis pernikahan mereka yang bakal berlangsung di Sabah dalam tempoh terdekat. 

"Alhamdulillah persiapan untuk majlis pernikahan itu hampir selesai. Tinggal beberapa urusan kecil saja yang perlu diuruskan. 

"Kami mencapai kata sepakat untuk menyerahkan perancangan majlis di sana kepada keluarga Stacy bagi membangkitkan elemen kejutan buat saya," kata Akim. 

Terdahulu, pasangan kelahiran Akademi Fantasia ini mengikat tali pertunangan pada 26 September lalu dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri oleh keluarga kedua belah pihak.

Sumber: Berita Harian


0 Response to "Foto cincin mahal hadiah perkahwinan Akim buat Stacy"

Catat Ulasan

dzulCYBER