Cara DATING dengan kekasih yang betul menurut Islam

Mutakhir ini, “Dating” bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat terutama remaja. Malah gejala “Dating” bolehlah dikatakan sebagai satu doktrin yang mempengaruhi cara hidup remaja di era globalisasi kini. Budaya “Dating” yang diamalkan kini juga adalah satu jalan mudah bagi golongan muda-mudi mencari keseronokan dan kepuasan. Tanpa disedari bahawa gejala “Dating” yang diamalkan mampu menjuruskan pasangan tersebut ke dalam lembah penzinaan.

Jika diselidiki secara halus dan mendalam, mengapa budaya “Dating” mampu menular dalam kalangan masyarakat? Apakah yang mendorong masyarakat terlibat dengan budaya “Dating”? Dan bagaimanakah cara dating yang diamalkan mampu mempengaruhi cara hidup pasangan dalam berkasih? Sudah pasti masyarakat pada hari ini menjadikan pengaruh barat sebagai medium bagi dijadikan ikutan dalm menyemai bibik-bibik cinta dalam menjalinkan hubungan sebagai sepasang kekasih. Sedangkan kita sebagai umat Islam seharusnya menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dalam menjalani kehidupan walaupun dalam hubungan berkasih.

Oleh itu, menerusi tugasan ini kami sekumpulan (Syababul Islam) telah menyenaraikan beberapa kaedah yang sesuai untuk diamalkan dalam menjalinkan perhubungan “Dating” agar budaya “Dating” yang diamalkan tidak menyimpang daripada ajaran sebenar Islam.


Kami akan menerangkan tentang definisi serta hukum “Dating” seterusnya membahagikan kepada 4 aspek. Selain itu juga kami telah mengemukakan kesan, langkah-lagkah serta kajian kes yang berdasarkan pemahaman kami tentang topik tersebut. Diharapkan agar segala isi kandungan dalam tugasan mampu dijadikan panduan kepada mereka yang ingin mendapat keredaan Allah dalam menjalinkan hubungan cinta.


1. Definisi "Dating"

Dalam perspektif Islam,”Dating” bolehlah disimpulkan sebagai satu pertemuan antara seorang lelaki dengan seorang wanita yang bukan dari mahramnya keluar secara berpasangan atau bersama-sama ke sesuatu tempat tanpa ditemani oleh orang ke-3 yang bertindak sebagai saksi dan pemerhati.


2. HUKUM “DATING”

2.1 Kebanyakan jumhur ulama dan ulama fikah berpendapat bahawa hukum sebenar “dating” adalah haram. Hal yang demikian kerana aktiviti yang diamalkan dalam hubungan “Dating” boleh mendorong kepada perbuatan maksiat. Dating adalah salah satu punca utama yang mampu mendekatkan diri kepada perbuatan zina. Pendapat ini disokong berdasarkan ayat Al-Quran surah Al-Isra ayat 32 yang membawa maksud: 

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan).”

2.2 Namun begitu Islam bukanlah agama yang jumud/beku. Bagi mereka yang telah bertunang hukum dating adalah harus. Hal yang demikian kerana hubungan Dating membolehkan pasangan mengenali hati budi masing-masing atau dengan kata lain iaitu untuk mencari “chemistry” antara pasangan. Ulama mengharuskan pertemuan lelaki dan perempuan selepas pertunangan semata-mata untuk melihat sifat zahirnya, seperti melihat kepada rupanya untuk mengenal pasti kesempurnaan fizikalnya. Namun begitu, hubungan Dating yang diamalkan mestilah berdasarkan batas-batas pergaulan dalam Islam.

2.3 Jumhur ulama Mazhab Syafie pula berpendapat bahawa islam menuntut agar setiap pasangan yang bakal mendirikan masjid mengenali antara satu sama lain terlebih dahulu. Terdapat juga dikalangan ulama Fekah yang merupakan pencinta yang hebat seperti Daud az-Zahiri yang merupakan imam Mazhab az-zahiri.

2.4 Dating berdasarkan ajaran Islam boleh dianggap sebagai ibadat dan perlulah disertakan dengan niat untuk mendapat keredaan dan rahmat daripada Allah S.W.T.

2.5 Menurut pandangan Ustaz Shahrin Md. Jamaluddin yang merupakan penakwah bebas, beliau menyatakan bahawa hukum “Dating” adalah haram. Dating hanya akan menjadi halal apabila pasangan tersebut telah disatukan melalui suatu ikatan perkahwinan. Apabila pasangan tersebut telah diijabkabul segala perkara yang haram dalam “dating” akan menjadi halal.

2.6 Ustaz Mohd Ravi Bin Abdullah pula melalui blognya menyatakan pendapat bahawa dating adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada mudarat kerana mendedahkan pasangan lelaki dan perempuan melakukan sesuatu yang ditegah oleh Agama Islam.

Intiharnya, hukum Dating boleh dibahagi kepada dua . Dimana “Dating” boleh menjadi haram sekiranya niat pasangan tersebut sekadar untuk bersuka-suka dan hanya mengikut kehendak nafsu semata-mata serta diselang-selikan dengan perbuatan maksiat. Tetapi “Dating” akan menjadi harus sekiranya pasangan tersebut benar-benar ingin mengenali hati budi sebelum melangkah ke alam rumah tangga. Akan tetapi perlu diingatkan bahawa “Dating” tersebut perlulah berdasarkan lunas dan etika ajaran islam. Percintaan dan dating yang halal ialah selepas diijab kabul, sementara itu pasangan kekasih hendaklah tunduk kepada perintah Allah. Adalah tidak wajar mencari kebahagiaan hidup dengan melanggar perintah Allah.

BAGAIMANA CARA “DATING” YANG DI ANJURKAN DALAM ISLAM?
Dalam kes ini,islam telah telah menetapkan syarat-syarat yang wajib dipatuhi oleh setiap muslim dan muslimah dalam mengamalkan konsep “Dating” yang sebenar. Menerusi tugasan ini kami telah menetapkan beberapa garis panduan atau dalam kata lain ialah syarat dalam mengaplikasikan konsep “dating” dalam kehidupan seharian.

Antaranya ialah:

3.1 Menjaga pandangan mata.
3.2 Percakapan yang baik.
3.3 Pakaian yang menutup aurat.
3.4 Tempat pertemuan yang tidak mencurigakan


3.1 MENJAGA PANDANGAN MATA

SURAH AN-NUR AYAT 30-31
[Ayat : 30]
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan.

[Ayat : 31]
Maksudnya:
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Terjemahan " yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

3.1.1 BAGAIMANA MENJAGA PANDANGAN MATA?
1. Ketika berbual, pandangan mata hendaklah dijaga agar tidak memandang dengan nafsu syahwat.
2. Pandangan mata adalah satu senjata sulit Iblis dan Syaitan bagi merosakkan anak Adam.
3. Quran menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan.
4. Tidak melihat aurat orang lain atau berusaha melakukannya. Jika terpandang aurat, maka hendaklah cepat-cepat mengubah pandangan mata

3.1.2 MENGAPA MENJAGA PANDANGAN MATA?

Dari segi hukum melihat berlainan jantina.
Berdasarkan ayat di atas Allah Swt. menjelaskan bahawa seorang Muslim atau Muslimah tidak boleh (haram) melihat berlainan jenisnya yang bukan muhrim, kecuali orang-orang yang mahram dengannya.
Meskipun demikian melihat atau memandang dapat halal jika pandangan tersebut hanya sekali sahaja dan tidak disengajakan, kerana ketidaksengajaan merupakan perbuatan di luar kemahuan manusia dan dilakukan tanpa disedari.
Jika pandangan pertama itu diikuti dengan pandangan yang berikutnya maka pandangan yang kedua itu pada dasarnya berasal dari syaitan dan akan menimbulkan fitnah. Sebagaimana sabda Rasulullah saw. kepada Saidina Ali ra :
" Hai Ali, janganlah mengikuti setiap pandangan, sesungguhnya yang pertama itu (tidak sengaja) untukmu dan yang berikutnya dari syaitan."
[ Ayat ini mewajibkan setiap muslim dan muslimah untuk menundukkan pandangan sebagai jalan dari terbukanya pintu syaitan dan fitnah.]

3.1.3 FAEDAH-FAEDAH MENJAGA PANDANGAN MATA
1. Menguatkan hati dan jika meliarkan pandangan akan melemahkan hati dan membuatkannya gelisah.
2. Melepaskan hati daripada tawanan syahwat.
3. Membentengi seseorang daripada pintu syaitan.
4. Ia akan mengosongkan hati daripada pelbagai maksiat

3.2 PERCAKAPAN YANG BAIK
Percakapan adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan seharian terutama dalam perhubungan. Kadang kala percakapan dalam hubungan “dating” boleh membawa berlakunya pelbagai kejahatan termasuklah mendekatkan diri kepada perbuatan zina. Justeru itu, memelihara percakapan adalah sangat dituntut oleh Islam. Percakapan yang tidak bertanggungjawab boleh mengugat keharmonian masyarakat dan keluarga. Beberapa banyak penaniayaan, keruntuhan rumah tangga, permusuhan dan pembunuhan berlaku disebabkan oleh khabar-khabar angin dan percakapan yang tidak bertanggungjawab .

3.2.1 PERCAKAPAN YANG TIDAK MENGGODA
Suara merupakan aspek yang penting dalam percakapan. Suara yang manja dan menggoda akan menarik antara satu sama lain ke arah melakukan maksiat. Oleh itu, dalam aspek bercakap, Islam membenarkan lelaki dan wanita berkomunikasi antara satu sama lain dengan syarat percakapan itu tidak menggoda.

Al-Quran menyebut syarat ini dalam (Surah al-Ahzab : 32) yang bermaksud :
“Maka janganlah kamu kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya dan berkatalah akan perkataan yang baik”.

3.2.2 PERCAKAPAN HENDAKLAH TOPIK YANG SERIUS ATAU AGAK SERIUS.
Percakapan yang tidak dikawal juga mengeluarkan perkataan yang batil dan keji seperti membincangkan urusan maksiat, menceritakan kisah-kisah lucah dan memberitahu tempat-tempat dosa. Perkara tersebut perlulah dihindari . Tajuk perbualan juga hendaklah tajuk yang serius atau agak serius. Tidak wajar untuk berbicara tentang perkara-perkara lucah, tentang anggota seksual sendiri dan seumpamanya. Islam juga melarang seseorang itu mengutuk dengan menggunakan perkataan kesat. seorang yang tidak menjaga lidahnya iaitu berkata-kata tanpa memikirkan akibat buruk dari kata-katanya boleh menjerumuskannya mengeluarkan kata-kata yang biadab atau maksiat.

3.2.3 PERCAKAPAN TENTANG PERKARA-PERKARA YANG BERFAEDAH

Adalah tidak wajar berbual perkara-perkara yang remeh-temeh seperti pertanyaan tentang mandi, makanan, masakan hari ini dan sebagainya.Bagi orang yang beriman, sangat dituntut tidak berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan kata-kata yang berhikmah. Adalah diutamakan di dalam perkara meninggalkan percakapan yang sia-sia atau yang tidak berfaedah atau meninggalkan percakapan yang boleh menyebabkan terjadinya fitnah dan permusuhan. Termasuk perkataan yang tidak penting adalah menanyakan kepada seseorang tentang sesuatu yang tidak penting.

3.2.4 LEBIH BAIK DIAM SEKIRANYA TIDAK TAHU AKAN SESUATU PERKARA.
Islam menganjurkan bagi manusia untuk berdiam daripada mengucap perkataan sia-sia. Nabi Muhmmad S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”(riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebagai jalan selamat, ajaran Islam sejak mula lagi menganjurkan kepada kita agar tidak terlalu banyak bercakap kecuali percakapan yang jelas ada manfaatnya. Bahkan apabila berdiam diri itu sama saja manfaatnya dengan manfaat menutur percakapan, maka dalam kedudukan begini, adalah lebih utama bagi seseorang itu untuk diam sahaja. Hal ini kerana percakapan yang harus itu tidak dapat dikawal, ia boleh membawa kepada yang haram dan dilarang oleh ajaran Islam.

Kesimpulannya , percakapan yang baik adalah percakapan atau perbualan yang membawa kepada mengingat Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.Oleh itu, umat Islam perlu memelihara pertuturan daripada menyebut perkara yang dilarang oleh Islam. Jalan selamat dalam memelihara percakapan adalah membanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan mempelajari ilmu.

3.3 PAKAIAN YANG MENUTUP AURAT SEMASA DATING
Sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai kerana pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu Muslim sebenar.

3.3.1 Pakaian mestilah pakaian yang menutup aurat.
3.3.2 Aurat wanita ketika bertemu lelaki ajnabi (bukan mahram iaitu lelaki yang boleh menjadi suaminya) ialah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan. Pergelangan kaki juga dikira sebagai aurat. Ada sebahagian ulama berpendapat ia tidak aurat. Oleh itu adalah baik jika wanita memakai stoking. Pakaian yang elok dipakai adalah baju kurung dan tudung kepala.
Allah berfirman bermaksud:

"Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Al-Ahzab:59)

3.3.3 Pakaian juga mestilah tidak nipis sehingga menampakkan kulit seseorang pemakainya.
Pakaian juga mestilah tidak ketat hingga menampakkan bentuk tubuh seseorang pemakainya. Kebiasaannya seluar jeans adalah seluar yang ketat. Baju kebaya juga biasanya dibuat daripada kain yang nipis dan ketat. Namun jika baju kebaya dibuat dengan kain yang tidak nipis dan tidak ketat, maka ia boleh dipakai.Ada sesetengan remaja wanita suka memakai seluar. Ini tidaklah menjadi kesalahan dalam agama selagi ia tidak nipis dan tidak ketat serta menutup aurat. Pakaian tidak ketatTUJUANNYA adalah supaya tidak menonjolkan atau melihatkan bentuk tubuh badan

3.3.1 Tudung kepala hendaklah menutup rambut dan tengkuk/leher. Pemakaian skaf untuk tudung kepala adalah tidak sempurna kerana masih nampak leher. Tudung juga hendaklah labuh agar menutup bahagian depan dada wanita.
Firman Allah :

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوْبِهِنَّ
“Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung mereka ke dadanya”
(Surah an-Nur :31).

3.3.2 Fesyen pakaian hari ini seperti menampakkan pusat, ketat dan sebagainya adalah jelas haram.
3.3.3 Pakaian wanita tidaklah menyerupai pakaian lelaki dan pakaian lelaki tidaklah menyerupai pakaian wanita.

Hadis menyebut bahawa Saidina Abu Hurairah berkata :

لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لبْسَةَ الْـمَرْأَةِ ، وَالْـمَرْأَةَ تَلْبَسُ لبْسَةَ الرَّجُلِ .
“Rasulullah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang
memakai pakaian lelaki”.
(Riwayat Ahmad dan Abu Daud).


3.4 TEMPAT PERTEMUAN YANG TIDAK MENCURIGAKAN

Antara syarat yang membolehkan pertemuan dalam islam adalah tempat pertemuan yang tidak menimbulkan fitnah. Ramai yang menjadikan alasan pertemuan sebagai perkenalan antara satu sama lain, malah ia hanya diharuskan untuk mereka yang sudah bertunang dan mempunyai niat untuk mengahwini seseorang itu. Itupun dengan izin wali perempuan dan bersama mahram ahli keluarga perempuan. Bertunang adalah lesen awal untuk seorang lelaki mengenali tunangnya. Pertemuan itu mesti dengan memelihara hak Allah. Ulama haruskan pertemuan lelaki dan perempuan selepas pertunangan semata-mata untuk melihat sifat zahirnya, seperti melihat kepada rupanya untuk mengenal pasti kesempurnaan fizikalnya. Pertemuan yang disaran oleh islam ialah:

3.1.1 Tempat yang paling afdal dalam islam ialah pergi ke rumah keluarga perempuan atau membawa ke dalam majlis di rumah lelaki. Selain mengelak daripada fitnah ia juga dapat mengeratkan hubungan sillaturrahim dengan keluarga kedua-dua belah pihak dan juga membuktikan pasangan berniat betul untuk berkahwin.

3.1.2 Jauhi tempat-tempat yang banyak hiburan, maksiat dan fitnah. Seperti disko, bar, kelab malam dan sebagainya tempat yang tidak wajar dikunjungi oleh setiap muslim.

3.1.3 Tempat yang sunyi dan jarang dikunjungi orang adalah tempat yang tidak sesuai untuk bertemu. Pertemuan di kelas-kelas yang terpencil pada waktu petang mesti dielakkan. Alangkah elok jika tempat bertemu itu tempat yang terbuka seperti restoran, pasar, pejabat, taman rekreasi dan sebagainya.

3.1.4 Adat yang berlaku dewasa ini di mana seseorang bersama tunangnya ke sana-ke mari adalah adat yang bertentangan dengan Islam

Sabda Nabi s.a.w. :

“Tidak boleh bersunyi-sunyian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan ada mahramnya”. (Mafhum HR Bukhari).

Dalam hadis juga diceritakan bahawa seorang wanita Ansar datang kepada Nabi s.a.w. maka Nabi pun bersunyian dengan wanita tersebut. (Mafhum HR Bukhari). Ada riwayat menyebut bahawa bersama wanita tersebut seorang budak lelaki. Maksud ‘bersunyian’ dalam hadis bukan bermakna Nabi s.a.w. bersama dengan wanita itu di tempat tertutup. Maksudnya ialah Nabi bercakap dengan wanita tersebut di tempat yang jauh sedikit daripada orang lain sehingga mereka tidak mendengar perbualan Nabi, tetapi orang ramai masih melihat Nabi dan wanita Ansar tersebut. .

Kesimpulannya berdasarkan hadis nabi diatas: tujuan Nabi Muhammad menyuruh umatnya adalah bagi menjaga agama dan maruah diri agar terhindar daripada fitnah. Jika pantang larang ini tidak dipatuhi, akan berlaku fitnah dan keburukan seperti khalwat, berdua-duaan dan zina.


4. KESAN-KESAN ‘DATING’ DAN PERTEMUAN YANG TIDAK
DIANJURKANDALAM ISLAM

Dating ataupun pertemuan dianggap berguna bila ia disusuli dengan perkahwinan tetapi ia akan dipandang hina bila tidak membawa kepada kebaikan. Pertemuan seumpama ini diharamkan oleh islam kerana akan mendatangkan kesan-kesan seperti:

4.1 Terjerumus kedalam penzinaan.
Pada masa kini, mengurat dan cinta adalah muqadimah untuk melakukan penzinaan kerana tatkala kemesraan kian bersemi pasangan bercinta teramat sukar untuk ‘tidak menyentuh’ antara satu sama lain. Tindakan minima, mereka akan bersentuhan bahu dan berpegangan tangan ketika berjalan. Tindakan mereka lebih berani apabila beraksi ditempat sunyi.

4.2 Berlaku penipuan dengan keluarga.
Bila hubungan semakin mesra, maka semakin keraplah perjumpaan antara mereka. Hal ini juga menyebabkan mereka pandai menipu ibubapa, contohnya memberitahu ibubapa ingin pergi ke kelas tambahan sebaliknya keluar bersama teman lelakinya dan sebagainya.

4.3 Melahirkan anak luar nikah
Pertemuan ini ialah permulaan untuk melahirkan anak luar nikah dan berlakunya kes-kes pembuangan bayi atau mencampakkan bayi yang tidak berdosa kedalam tong sampah dan longkang.

4.4 Menjurus kepada fitnah
Perbuatan ini akan menjurus orang melemparkan fitnah kepada mereka yang bertemu tanpa mahramnya. Ia juga akan menyebabkan jiran-jiran dan masyarakat memandang serong terhadap mereka dan menjadi bualan masyarakat.


KESIMPULAN

Budaya “Dating” yang diamalkan dalam mengeratkan hubungan cinta perlulah berdasarkan ajaran dan lunas-lunas Islam. Dating yang didefinisikan sebagai sebuah perjumpaan antara seorang lelaki dan seorang wanita perlulah ditemani oleh orang ketiga yang bertindak sebagai saksi dan pemerhati. Tujuan “Dating” yang ditemani saksi ini adalah bertujuan untuk menghindarkan daripada berlakunya perbuatan maksiat dan seterusnya mengelakkan daripa timbulnya fitnah.
Pertemuan “Dating” yang dianjurkan dalam islam melalui empat aspek iaitu
1. Menjaga pandangan mata.
2. Percakapan yang baik.
3. Pakaian yang menutup aurat.
4. Tempat pertemuan yang tidak mencurigakan

Empat aspek ini jelas menunjukkan bahawa islam amat menitik beratkan adat dan rupa diri umatnya dalam menjalinkan perhubungan. Ketegasan islam dalam menetapkan syarat adalah demi kebaikan dan memelihara maruah diri umatnya seterusnya nama baik agama yang Satu ini.

Sekiranya budaya “Dating” yang dibawa oleh barat terus diamalkan sudah pasti akan menimbulkan 1001 komplikasi serta kesan negatif seperti keruntuhan moral yang serius. Justeru itu kita sewajarnya tidak menjadikan budaya barat sebagai satu medium untuk dicontohi terutama dalam menjalinkan perhubungan cinta seperti “dating” ini.

Ironinya, pertemuan yang dianjurkan dalam islam adalah satu kaedah yang kamil, syamil dan wajib diamalkan dalam menyemai bibik-bibik cinta dalam menjalinkan ikatan yang murni. Konklusinya, jika pertemuan yang dianjurkan dalam islam diamalkan, insyaallah akan menghasilkan satu ikatan (perkahwinan) yang diberkati Allah seterusnya melahirkan keluarga sakinah.

Sumber : Matblurjunotoko

0 Response to "Cara DATING dengan kekasih yang betul menurut Islam"

Catat Ulasan

dzulCYBER