7 Foto perkahwinan Datuk A. Rahman Hassan & Fadilah Mansor

Dengan sekali lafaz, penyanyi era 60-an, Datuk A. Rahman Hassan, 67, dan pelakon Fadilah Mansor, 54, sah bergelar suami isteri pada majlis ijabkabul yang diadakan malam ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra itu menyaksikan kedua mempelai yang anggun berpakaian sedondon berwarna krim, dinikahkan oleh imam Masjid Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur, Ustaz Azizi Abdul Hamid Al-Hafiz.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu itu, Fadilah yang berwalikan abangnya Jamaluddin Mansor menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin berlian serta lima dulang hantaran berbalas lima dulang.

Ketika ditemui pemberita, A. Rahman yang popular dengan lagu 'Tak Mengapa' menzahirkan rasa syukur kerana majlis pernikahannya berjalan lancar dan tenang.

"Ini merupakan satu pencapaian yang baru bermula dalam kehidupan saya dan isteri dan Insya-Allah kami akan melayari bahtera rumah tangga ini dengan sebaik mungkin", katanya.

Antara rakan artis yang hadir menyerikan majlis ialah pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, penyanyi Uji Rashid, Hail Amir dan Datuk DJ Dave.

Sebelum ini, Fadilah pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah filem veteran, Ahmad Ibrahim atau Mat London dan memiliki dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu.

Sementara A. Rahman pula merupakan bapa tunggal kepada tiga anak termasuk pelakon dan pengarah Khir Rahman, selepas isterinya Datin Azizah Mohamad yang juga penyanyi era 60-an meninggal dunia pada 26 April tahun lepas, akibat kanser - Sinar Harian








0 Response to "7 Foto perkahwinan Datuk A. Rahman Hassan & Fadilah Mansor"

Catat Ulasan

dzulCYBER