Punca sebenar Ahmad Fakhruddin tidak kenal maknya, Wawa Zainal

Bergelar seorang ibu, sudah pasti kepentingan anak menjadi keutamaan begitu juga perihalnya dengan pelakon, Wawa Zainal.

Mempunyai seorang anak bersama Ariel Zafril, Ahmad Fakhruddin Attar yang kini berusia setahun tujuh bulan, Wawa nyata lebih mementingkan tanggungjawab sebagai ibu berbanding karier lakonannya. 

Bagi Wawa, dia cukup berhati-hati bila mahu mengambil tawaran berlakon sekarang kerana tidak mahu berenggang lama dengan anaknya. 

“Kalau ada tawaran berlakon drama, saya tidak akan terima drama yang mempunyai episod yang panjang kerana komitmen sebagai ibu. 

“Kecuali telemovie atau drama yang hanya mengambil tempoh untuk 13 episod sahaja, itu akan saya pertimbangkan untuk terima,” jelasnya ketika ditemui di set penggambaran Fatihah Buatku di Ukay Perdana, Selangor. 

Jelas Wawa lagi, pernah sebelum ini dia mengambil episod yang panjang dan memerlukan masa yang lama untuk penggambaran. 

“Sebelum ini saya pernah terima tawaran untuk sebuah drama yang panjang dan memerlukan saya berada di lokasi kira-kira dua minggu di Sarawak. 

“Balik dari Sarawak sahaja, anak saya sudah tidak kenal dengan saya. Menangis-nangis dia bila saya dukung. 

“Akibat daripada itu yang saya buat keputusan untuk tidak ambil lagi tawaran yang memerlukan masa yang panjang atau memerlukan saya berada di luar ibu kota dalam tempoh masa yang panjang,” jelasnya. 

Kata Wawa, itu tidaklah bermaksud dia langsung tidak mahu mengambil tawaran drama, sebaliknya mahu menunggu masa yang sesuai. 

“Buat masa ini anak saya masih lagi kecil, itu yang saya tidak mahu ambil tawaran. Mungkin bila dia sudah berusia dua atau tiga tahun, saya akan kembali menerima tawaran drama panjang,” ujarnya. 

Bagi Wawa, keputusan yang dibuat adalah yang terbaik dan setakat ini, selepas bergelar ibu, rezeki tawarannya belum pernah putus lagi. 

“Tawaran untuk berlakon memang tidak pernah putus. Tetapi saya sendiri yang hadkan diri. Begitu juga dengan Ariel yang tidak mengambil tawaran lakonan dengan jangka masa yang lama. 

“Setakat ini, telemovie Fatihah Buatku ini yang terbaharu sedang saya lakonkan selepas tiga bulan tidak masuk ke set,” jelasnya. 

Lakonan Wawa sebagai Fatihah boleh dilihat menerusi telemovie Fatihah Buatku yang akan ke udara menerusi saluran Astro Oasis pada hari Sabtu ini pukul 10 pagi bersempena sambutan Awal Muharam. 

Turut terlibat dalam telemovie ini termasuklah Nazim Othman, Amerul Affendi, Kazar, Mak Jah, Man Raja Lawak dan Suriati Baharom - UTUSAN MALAYSIA.


0 Response to "Punca sebenar Ahmad Fakhruddin tidak kenal maknya, Wawa Zainal"

Catat Ulasan

dzulCYBER