Punca Raja Ema nyaris ditembak lelaki di bandar Shah Alam


Punca Raja Ema nyaris ditembak lelaki di Shah Alam - Pelakon dan penyanyi terkenal Raja Ema berdepan detik cemas apabila seorang lelaki tiba-tiba mengacukan pistol sebanyak dua kali kepadanya ketika sedang memandu di sekitar bandar Shah Alam.

Kejadian menakutkan itu dikongsikan Raja Ema menerusi akaun Instagram miliknya dan mengakui masih terkejut sehingga kini. Bagaimanapun, Raja Emma mengesahkan tiada sebarang kecederaan berlaku akibat ancaman tersebut.

“Tak ada apa-apa kejadian tidak diingini. Lelaki itu hon dan pintas kereta sambil acu pistol. Di kawasan lampu isyarat ketika lampu merah dia acu lagi. Sudahlah anak-anak ada dalam kereta.”

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika Raja Ema Raja Ibrahim, 46, memandu keretanya bersama Putera Ammar dan Putera Alkashah kira-kira jam 2.30 petang di pusat bandar itu selepas selesai berurusan di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.

Secara tiba-tiba, seorang lelaki yang memandu kereta Kenari secara bersendirian menghampiri keretanya dan membunyikan hon dipercayai tidak berpuas hati dengan pemanduan Raja Ema yang perlahan.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Jejaka Idaman itu tidak mempedulikan bunyi hon itu dan meneruskan pemanduan seperti biasa.

Akibatnya, kereta itu memintas keretanya sebelum lelaki terbabit mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukan ke arah aktres terbabit.

Raja Ema mengabaikan ancaman itu dan memandu keretanya sehingga ke lampu isyarat sebelum lelaki terbabit sekali lagi mengacukan pistol ke arahnya.

Raja Ema yang ketakutan dengan tindakan lelaki itu meneruskan pemanduan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dan membuat laporan kerana bimbang dengan keselamatannya dan keluarga.

Sementara itu, jurucakap Polis daerah Shah Alam ketika dihubungi wartawan Harian Metro mengesahkan menerima laporan itu.

0 Response to "Punca Raja Ema nyaris ditembak lelaki di bandar Shah Alam"

Catat Ulasan

dzulCYBER