Objek menyerupai sayap MH370 berjaya dikesan di Lautan Hindi


Objek menyerupai sayap MH370 berjaya dikesan di Lautan Hindi - Satu objek sepanjang 24 meter telah berjaya dikesan terapung tenggelam di kawasan selatan Lautan Hindi oleh agensi satelit Australia.

Menurut penganalisis Kejuruteraan Penerbangan, Dr Shamsuri Ahmad Mokhtar, objek itu berkemungkinan sayap pesawat Boeing 777-200ER kerana saiznya yang paling munsabah.

"Difahamkan saiz debris yang dikesan ialah sepanjang 24 meter, kalau spesifikasi itu ia mungkin datang dari badan atau sayap Boeing 777. Dengan saiz 24 meter itu yang paling munasabah ialah sayap Boeing."

Tambah Dr Shamsuri, jika debris bersaiz atau panjang 24 meter ditemui ia menandakan pesawat itu melakukan soft landing.

"Mana-mana pesawat, tidak kira Boeing atau tidak, jika seripihannya 24 meter, ia memberi petanda berlaku soft landing sebab ia tidak berkecai. Kalau ia terhempas dari satu ketinggian ia akan berkecai."

Hari ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot memaklumkan kepada parlimen negara tersebut mengenai penemuan dua imej satelit bersaiz 24 meter yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air berkemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata pesawat dan kapal telah dihantar untuk mengesahkan maklumat mengenai pengesanan kemungkinan objek yang ada kaitannya dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Bercakap kepada pemberita sebelum mengadakan pertemuan dengan delegasi Australia di Hotel Sama-Sama di sini, Hishammuddin berkata maklumat itu memberi penunjuk baharu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu yang masuk hari ke-13 hari ini.

"Seperti yang telah saya lakukan dari hari pertama, kita akan mengikuti setiap petunjuk baharu. Marilah kita berharap ini adalah perkembangan positif."

Ditanya apakah jenis objek yang ditemui dan berapa lama akan mengambil masa untuk mengesahkannya, Hishammuddin berkata: "Kami tidak tahu. Pesawat dan kapal telah dihantar.

"(Ia) seperti yang kami lakukan dengan penemuan imej dari satelit China dan lain-lain objek yang memberi penunjuk awal. Kita menggunakan kaedah sama."

Bagaimanapun, Hishammuddin enggan mendedahkan apakah maklumat yang disampaikan oleh kerajaan Australia hari ini.

0 Response to "Objek menyerupai sayap MH370 berjaya dikesan di Lautan Hindi"

Catat Ulasan

dzulCYBER