Tiada istilah nikah dua kali bagi Aeril Zafrel dan Wawa Zainal - Datuk Noh Gadut


Tiada istilah nikah dua kali bagi Aeril Zafrel dan Wawa Zainal - Umum mengetahui, pasangan pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal menerusi sidang media pada Jumaat mengakui telah bernikah sebanyak dua kali sebelum melahirkan anak sulung mereka pada 24 Ogos lalu.

Bagaimanapun, perkara yang menjadi persoalan orang ramai sehingga kini ialah istilah nikah dua kali antara mereka berdua. Lebih memburukkan keadaan, timbul pula cerita baru yang mendakwa Wawa Zainal masih tunangan seorang guru dikenali Abdul Rahsid walaupun sudah berkahwin dengan aktor Aeril Zafrel.


Ekoran pertikaian ini, Penasihat Agama Johor, Datuk Noh Gadut tampil membuat kenyataan berhubung persoalan tersebut dalam sidang media di Pejabat Agama. Katanya, tiada istilah nikah dua kali dalam Islam melainkan mahkamah mengesahkan pernikahan pertama tidak sah mengikut hukum syarak.

“Perlu diingatkan apabila sudah bernikah tanpa mengikut undang-undang negara misalnya bernikah di luar negara, pasangan terbabit perlu melakukan ‘isbat nikah’ iaitu mensabitkan pernikahan mereka dengan pihak berkuasa di negara kita."

“Mereka perlu mengemukakan semua saksi termasuk wali dan bukti mengatakan mereka sudah bernikah tahun lalu (seperti dilaporkan media) di pejabat agama."

“Ia bertujuan memastikan pernikahan itu dilakukan mengikut hukum syarak dan jika tiada masalah, pernikahan mereka boleh disahkan tanpa perlu bernikah sekali lagi."

“Bagaimanapun dalam hal ini, tindakan mereka bernikah kali kedua itu boleh menimbulkan pandangan seolah-olah tidak mengiktiraf pernikahan yang pertama.”


Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan keperluan perkahwinan mengikut agama dilakukan serentak dengan undang-undang sedia dibentuk bagi memastikan setiap pasangan berkahwin mengikut hukum syarak sekali gus sah dalam Islam.

“Kita tidak tahu sejauh mana perkahwinan pertama (tanpa mengikut undang-undang negara) itu sah mengikut hukum syarak. Jika sah, Alhamdulillah, tapi jika sebaliknya, hubungan yang dijalinkan selama ini boleh dianggap zina, manakala anak yang dikandung atau dilahirkan boleh dikategorikan sebagai anak luar nikah."

“Dalam hal ini, mereka hanya perlu melakukan sedemikian, sekiranya mahkamah memutuskan pernikahan pertama mereka itu tidak sah.”


0 Response to "Tiada istilah nikah dua kali bagi Aeril Zafrel dan Wawa Zainal - Datuk Noh Gadut"

Catat Ulasan

dzulCYBER