Searching...
06.13 0

Dua peragut bukan sahaja gagal meragut malah dibelasah sampai lembik

JOHOR BAHRU - Dua peragut dibelasah hingga lembik oleh sekumpulan individu sejurus ditahan dalam cubaan meloloskan diri selepas meragut rantai emas milik seorang wanita menyebabkan seorang daripadanya dirawat di hospital manakala rakannya ditahan polis bagi membantu siasatan.


Dalam kejadian berhampiran jejantas di Pasar Borong Pandan di sini, jam 4.40 petang, Selasa lalu, mangsa dikatakan ditolak seorang daripada suspek sebelum rantai emasnya diragut.

Mangsa menjerit meminta tolong dan orang ramai segera membantu.

Kedua-dua suspek berusia 20-an itu ditahan sebelum dibelasah hingga lembik oleh beberapa individu yang berang dengan tindakan suspek sebelum diserahkan kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan Abdul Samad Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.

“Sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus dihubungi orang awam yang berjaya memberkas kedua-dua suspek.

“Ketika tiba di situ, kedua-dua suspek dalam keadaan tidak bermaya manakala tangan mereka diikat oleh orang awam,” katanya, semalam.

Menurut Samad, kedua-dua suspek dihantar ke hospital dan seorang daripada mereka masih menerima rawatan di wad manakala rakannya dirawat sebagai pesakit luar.

Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek berjaya menemui semula rantai emas didakwa diragut daripada mangsa.

Samad berkata, pihaknya memuji tindakan orang ramai bekerjasama untuk memberkas kedua-dua suspek, sekali gus menunjukkan sikap prihatin masyarakat dalam membantu pihaknya membanteras jenayah jalanan.

“Bagaimanapun, orang ramai dinasihati supaya tidak bertindak melulu dengan memukul suspek sesuka hati kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan yang kami akan jalankan.

“Terima kasih kepada individu yang membantu menahan suspek, tetapi saya harap, pada masa depan, jangan belasah suspek sebaliknya tahan mereka dan tunggu hingga kami tiba,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Sumber : Harian Metro Online

0 Komen:

Poskan Komentar